Monday, August 29, 2011

libya


Penyokong Gaddafi bunuh tahanan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEORANG pejuang menutup hidung dan melihat 53 mayat yang rentung dipercayai mereka yang menentang Gaddafi, yang ditemui di sebuah gudang bandar Tripoli.
SEORANG pejuang menutup hidung dan melihat 53 mayat yang rentung dipercayai mereka yang menentang Gaddafi, yang ditemui di sebuah gudang bandar Tripoli.

TRIPOLI: Tentera Muammar Gaddafi mungkin membunuh tahanan dan orang awam ketika pemberontak menawan bandar raya ini minggu lalu.

Jalan raya Tripoli dicemari dengan mayat reput dan sisa peperangan selepas pertempuran sengit meletus antara pemberontak dengan tentera Gaddafi, bertujuan menamatkan pemerintahan 42 tahun pemimpin itu.

“Bukti yang berjaya kami kumpul setakat ini menunjukkan kerajaan Gaddafi terbabit dalam pembunuhan ketika Tripoli jatuh,” kata Pengarah HRW Afrika Utara, Sarah Leah Whitson.

Dalam satu kenyataan, dia berkata, kira-kira 18 mayat penuh dengan peluru, dua dengan tangan terikat, ditemui di tebing sungai berhampiran kompleks kediaman Gaddafi, Bab al-Aziziya.


Sebanyak 29 mayat ditemui dalam satu klinik sementara di perkarangan kompleks itu, dipercayai dibunuh, kata HRW lagi.


Empat mayat ditemui di atas katil lipat dan satu ditemui dengan tangan terikat.

Menurut HRW lagi, tiga mangsa yang terselamat daripada hukuman bunuh oleh kumpulan pro-Gaddafi termasuk seorang lelaki yang terkena tiga das tembakan apabila kumpulan itu menembak secara rambang ke sebuah bilik yang menempatkan 25 tahanan, selepas menerima arahan untuk ‘membunuh mereka semua.’

Menurut saksi, bunyi suara pejuang jelas kedengaran sebelum semua tahanan itu ditembak mati.

“Kejadian ini, mungkin sebahagian daripada kisah bagaimana tentera Gaddafi melakukan keganasan sama ada secara sistematik ataupun dirancang,” kata Whitson.

“Sekiranya kejadian ini terbukti melanggar hukum, maka mereka telah melakukan jenayah perang yang serius dan semua yang bertanggungjawab mesti di bawa ke muka pengadilan.”

Wartawan Reuters di Tripoli sendiri menyaksikan beberapa pembunuhan beramai-ramai dengan tangan mangsa diikat. - AP

Saturday, August 27, 2011

tikus gergasi


Tikus gergasi dibunuh di New York

JOSE RIVERA membunuh seekor tikus gergasi dengan menggunakan serampang peladang di kawasan perumahan Marcy di Brooklyn, New York baru-baru ini.

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seekor tikus gergasi dibunuh dengan menggunakan serampang peladang di sebuah kawasan perumahan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang pekerja projek perumahan berkenaan, Jose Rivera, 48, sedang memusnahkan lubang tikus apabila tiga ekor tikus gergasi muncul baru-baru ini.

Seekor tikus itu sepanjang hampir satu meter termasuk ekor dengan badan haiwan itu dilitupi bulu putih dan ia kelihatan gemuk.

"Saya menikam tikus itu sekali tetapi ia masih bergerak lalu saya menikam haiwan itu sekali lagi dan ia mati," kata Rivera.

Ketua Persatuan Penduduk Perumahan Marcy di Brooklyn di sini memberitahu, tikus gergasi beberapa kali dilihat berkeliaran di tempat mereka sejak sekurang-kurangnya enam tahun lalu.

Pakar-pakar haiwan mengenal pasti tikus raksaksa itu sebagai tikus spesies C. gambianos yang boleh membesar hingga satu meter dengan berat hampir dua kilogram.

Tikus itu boleh hidup selama tujuh atau lapan tahun. - Agensi

sumbang 41 tahun

Warga emas sumbang mahram selama 41 tahun
27/08/2011 2:33am

VIENNA 27 Ogos – Sebuah mahkamah Austria semalam mengarahkan seorang lelaki berusia 80 tahun ditahan kerana disyaki merogol dua anak perempuannya selama 41 tahun, dengan mengurung mereka di dalam rumahnya.

Menurut kenyataan mahkamah Ried im Innkreis, lelaki tersebut yang namanya dirahsiakan, akan ditahan sehingga 9 September depan sehingga polis selesai menjalankan siasatan terhadap dakwaan merogol, menyerang dan salah laku terhadap individu cacat atau kurang upaya.

Katanya, dia ditahan pada Khamis lalu kerana disyaki melakukan salah laku seksual dan fizikal terhadap dua anaknya, yang kini berumur 53 dan 45 tahun, sejak 1979 sehingga Mei tahun ini.

Bagaimanapun, lelaki terbabit menafikan tuduhan tersebut.

Menurut polis, kedua-dua wanita malang itu dipercayai mempunyai kecacatan mental, dan bapanya menghalang mereka berkomunikasi dengan orang luar dan menggunakan senjata untuk mengugut membunuh mereka. - AFP
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, August 17, 2011

gadis tertusuk besi pagar




Tertusuk besi pagar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TEMPAT KEJADIAN...Caitlyn dibawa ke hospital dengan besi pagar masih tertusuk pada tubuhnya.
TEMPAT KEJADIAN...Caitlyn dibawa ke hospital dengan besi pagar masih tertusuk pada tubuhnya.
TERSELAMAT...Caitlyn ketika menjalani rawatan di hospital.
TERSELAMAT...Caitlyn ketika menjalani rawatan di hospital.

SUNDERLAND: Seorang murid perempuan tertusuk pada pagar besi selama dua jam selepas dia terjatuh dari pokok.

Caitlyn Brown, 11, terselamat apabila besi yang menembusi tubuhnya tidak terkena organ pentingnya.


Besi tajam itu menusuk sedalam 15 sentimeter ke dalam tubuhnya, menembusi perutnya dan terhenti hanya kira-kira lapan sentimeter dari jantung serta organ pentingnya yang lain.

Ibu bapanya, Jan Stevens dan Michael Brown menyaksikan dengan cemas keadaan anak mereka selama dua jam sementara anggota bomba berusaha menyelamatkannya. Caitlyn yang meminta supaya muzik dimainkan bagi megalihkan tumpuannya ketika dia terperangkap, kini sudah kembali ke rumah selepas meghabiskan masa beberapa minggu menjalani rawatan di hospital.


Empat kereta bomba dan sebuah ambulans menyertai usaha menyelamat murid berkenaan sementara anggota bomba menggunakan kelengkapan hidraulik untuk memotong pagar itu dan menyelamatkan Caitlyn.


Seorang doktor yang berada di tempat kejadian membantu dengan memberikan ubat penahan sakit sebelum dia dikejarkan ke hospital dengan besi tajam itu masih tertusuk pada badannya.

Jan, 38, dari Grindon, Sunderland berkata: “Ia sungguh mengerikan. Caitlyn tergantung pada pagar besi itu. Saya tidak percaya apa yang saya lihat.” Caitlyn berada di padang di luar rumahnya, tempat dia sering bermain dengan rakan apabila kejadian itu berlaku.


Seperti kebanyakan kanak-kanak lain, dia memanjat pokok untuk melintas pagar besi setinggi satu setengah meter itu kerana satu-satunya jalan masuk ke padang berkenaan memerlukan dia berjalan sejauh 15 minit.

“Caitlyn sering bermain dengan rakannya di padang itu dan kami boleh melihat mereka dari rumah. “Dia mahu keluar pada malam itu dan kami berpendapat tidak ada masalah untuknya berbuat demikian. “Selepas sejam, seorang rakannya, Renee meluru ke rumah kami dan memberitahu Caitlyn jatuh di atas pagar besi itu.


“Saya tidak faham apa yang dikatakannya. Saya sangka dia cuba memanjatnya dan kemudian takut dan perlukan bantuan untuk turun.


“Apabila tiba di tempat kejadian, saya tidak percaya apa yang saya lihat,” kata Jan.


Suaminya, Brown menelefon ambulans dan cuba mententeramkan anaknya sementara menanti ambulans dan anggota bomba tiba.


“Dia sungguh berani dan tidak menangis, Dia hanya meminta kami mainkan muzik. “Semua jiran datang dan sebahagian mereka berusaha memberinya sesuatu supaya dia boleh berdiri bagi mengurangkan tekanan terhadap kecederaannya,” kata Jan.


Caitlyn diberi ubat penahan sakit oleh doktor di tempat kejadian dan dikejarkan ke Hospital Diraja Sunderland sebelum dipindahkan ke hospital di Newcastle.


Doktor mengambil masa beberapa jam di dewan bedah bagi menarik keluar pesi itu daripada tubuhnya. - DM

tonton tv cepat mati

Tonton tv pendek nyawa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LONDON: Menonton televisyen selama enam jam sehari boleh mengurangkan jangka hayat selama lima tahun.

Kajian yuang dilakukan di Australia dan disiarkan dalam Jurnal Perubatan Sukan di Britain menunjukkan, setiap satu jam masa dihabiskan untuk menonton televisyen selepas usia 25 tahun boleh mengurangkan jangka hayat selama 22 minit.


Menurut seorang daripada penyelidik terbabit, Dr Lennert Veerman dari Universiti Queensland berkata: “Kesan menonton televisyen untuk jangka masa lama adalah sama dengan kesan terhadap merokok dan obesiti.

“Ketika kadar merokok sudah berkurangan, menonton televisyen tidak menunjukkan perkembangan itu. Ia memberi kesan besar terhadap populasi,” katanya.


Tahun lalu, satu kajian yang dilakukan di Australia mendapati tempoh sejam yang dihabiskan untuk menonton televisyen membawa kepada 8 peratus peningkatan terhadap ancaman mati awal.


“Kami menggunakan kajian itu dan menterjemahkannya kepada kesan jangka hayat di Australia berdasarkan berapa lama kita menghabiskan masa menonton televisyen.

Penduduk Australia menghabiskan masa kira-kira dua jam untuk menonton televisyen.


Kesannya, jangka hayat mereka berkurangan 1.8 tahun bagi lelaki dan 1.5 tahun untuk wanita, menurut kajian itu. - Agensi

hadiah batu pada janda

Hadiah bongkah batu pada bekas isteri

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MONTREAL: Datuk Bandar sebuah bandar kecil di Kanada disoalsiasat oleh polis selepas dia meletakkan batu seberat 20 tan yang dibungkus dengan kertas pembalut hadiah di jalan masuk ke rumah bekas isterinya.

Dany Lariviere, Datuk Bandar Saint-Th�odore-d’Acton, berhampiran Montreal, mendakwa bertindak demikian kerana mahu menghentikan isterinya daripada mengganggunya.


Lariviere yang juga pemilik sebuah syarikat pengorek turut menyembur batu itu dengan ucapan selamat hari jadi berwarna oren.

“Saya perlu berbuat sesuatu supaya dia membiarkan saya bersendirian,” kata Lariviere kepada stesen televisyen berbahasa Perancis, TVA.


Pasangan berkenaan yang bercerai sejak tiga tahun lalu saling mendakwa diganggu satu sama lain.


Selepas penghantaran batu itu, isteri Lariviere, Prevost memberitahu sebuah akhbar tempatan, dia sering bimbang mengenai keselamatannya ketika mereka masih menjadi suami isteri.

Pasangan terbabit berkongsi hak penjagaan terhadap dua anak mereka, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan seorang perempuan berumur sembilan tahun.


Lariviere menghantar bongkah batu itu pada jam 3 pagi Isnin lalu dan ditahan polis sebanyak dua kali untuk disoal mengenai tindakannya mengendalikan jentera berat pada tengah malam.

Dia dibenar meneruskan perjalanan selepas polis memeriksa lesen memandu, insurans dan pendaftarannya.


Selain berdepan dengan tuduhan mengganggu dan berkelakuan tidak senonoh, Lariviere juga boleh didakwa atas tuduhan melanggar peraturan lebuh raya. - DM

Tuesday, August 2, 2011

polis boleh guna kekerasan

Polis Australia diberi kuasa guna kekerasan

SYDNEY 1 Ogos - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard hari ini berkata, polis negara ini diberi kuasa untuk menggunakan kekerasan bagi memaksa pencari suaka politik menaiki pesawat untuk dihantar ke Malaysia.

Kumpulan pertama pencari suaka politik yang tertakluk kepada perjanjian pertukaran pendatang yang ditandatangani dengan Malaysia baru-baru ini tiba dengan bot di Australia, semalam selepas memulakan pelayaran dari Indonesia.

Pelarian seramai 54 orang yang kebanyakannya lelaki Afghanistan, Iraq dan Iran itu ditahan di pusat tahanan kawalan ketat di Pulau Christmas sebelum dibawa menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.

"Mematuhi arahan bukan dilakukan secara sukarela dan ini bermakna langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan pendatang haram ini menaiki pesawat di sini dan turun dari pesawat di destinasi," kata Gillard kepada stesen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) apabila ditanya sama ada kekerasan akan digunakan.

Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 25 Julai lalu, Malaysia bersetuju untuk menerima 800 pencari suaka yang belum diproses, kebanyakannya dari Asia Barat, yang dihantar oleh Australia.

Sebagai balasan, Kuala Lumpur akan menghantar kira-kira 4,000 pelarian yang sudah diproses dan diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakannya dari Myanmar, ke Australia.

Gillard mengaku kerajaannya belum dapat menunaikan janjinya bahawa pencari suaka akan menaiki pesawat ke Malaysia dalam tempoh tiga hari selepas mereka tiba di Australia, kerana terdapat kelewatan dalam mengatur kemudahan penginapan di Kuala Lumpur.

"Apabila sistem sudah beroperasi sepenuhnya, pendatang akan dihantar ke sana dalam masa 72 jam," katanya.

Gillard sebelum ini berkata, menghantar pencari suaka terus ke Malaysia akan menyebabkan mereka yang masih menunggu di Indonesia membatalkan hasrat untuk membayar wang kepada penyeludup manusia bagi menaiki bot ke Australia.

Jurucakap parti pembangkang, Parti Liberal bagi hal-ehwal Imigresen, Scot Morrison berkata, perjanjian tersebut tidak akan membawa kesan yang diingini.

Katanya, sejak perjanjian itu diumumkan pada 7 Mei lalu, 12 bot tiba di Australia dengan membawa sejumlah 621 pencari suaka.

Cadangan asal supaya perjanjian itu berkuat kuasa 7 Mei lalu digugurkan, dan kini hanya pendatang yang mendarat di Australia selepas 25 Julai tertakluk kepada perjanjian tersebut. - dpa