Sunday, November 28, 2010

Lubang Kecil


Banduan lolos dari celah lokap

RUANG di celah jeriji besi di penjara Tennessee yang cuma selebar 10 sentimeter.

BROWNSVILLE – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bingung bagaimana seorang banduan kurus, Kristopher Allen White (gambar kecil) meloloskan diri melalui celah jeriji besi tingkap sebuah penjara di sini, negeri Tennessee.

Sebuah akhbar melaporkan, White, 23, meloloskan diri melalui ruang kecil selebar 10 sentimeter dalam aksi yang dianggap luar biasa dan setanding dengan kehebatan ahli magis legenda, Harry Houdini pada Isnin lepas.

Banduan seberat 74.8 kilogram dengan tinggi 180.3 sentimeter itu ditangkap semula 14 jam kemudian dan dihantar kembali ke penjara Daerah Haywood, di sini.

“Sehingga kini, saya tidak dapat membayangkan bagaimana dia melakukannya,” kata Sherif Daerah Haywood, Melvin Bond.

Menurut satu lagi sumber, banduan itu melicinkan badannya dengan minyak masak dan dia dibantu oleh seorang lagi banduan yang menghuni bilik penjara bersamanya.

Dia ditahan di penjara itu selepas ditangkap kerana memecah masuk ke dalam beberapa buah gereja di Daerah Haywood pada awal tahun ini.

Selepas keluar dari lokap, White memanjat tembok penjara dan melapik pagar berdurinya dengan beberapa helai selimut penjara dan terjun keluar. - Agensi

Dalam Pun Kena Cek


Penumpang diraba kerana pelapik seluar dalam

SEORANG wanita menjalani pemeriksaan badan di sebuah lapangan terbang di AS.

NEW YORK – Seorang penumpang wanita mendakwa dia trauma selepas tangan-tangan kasar beberapa pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) meraba bahagian sulitnya ketika menjalani pemeriksaan badan di sebuah lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Peraturan di AS yang dikuatkuasakan oleh TSA mewajibkan setiap penumpang menjalani pemeriksaan mesin imbasan sinar-X yang ‘membogelkan’ mereka bagi mengesan senjata dan bahan letupan tersembunyi sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Wanita itu yang enggan identitinya didedahkan memberitahu, dia diarah menjalani pemeriksaan badan setelah mesin pengimbas sinar-X di lapangan terbang berkenaan mengesan pelapik seluar dalam yang dipakainya sebagai mencurigakan baru-baru ini.

“Saya menangis selepas itu kerana ia mengembalikan memori tragis serangan seks yang berlaku ke atas diri saya beberapa tahun lalu,” katan wanita itu. – Agensi