Saturday, October 29, 2011

kalau salah nak lari kemana

Didakwa bunuh suami

DALAM usia 76 tahun dan mengalami beberapa masalah kesihatan, Mary Ann Rivera terpaksa dibawa ke mahkamah di Houston, Texas bagi kesalahan yang didakwa dilakukan empat dekad lalu. – Agensi


DALAM usia 76 tahun, seorang wanita terpaksa menguatkan kudratnya untuk berada di mahkamah. Tidak seperti pada tahun 1970, dia kini tidak lagi berdaya untuk melarikan diri. Manakan tidak, dia bukan sahaja bergerak dengan kerusi roda, malahan terpaksa bernafas dengan bantuan tangki oksigen.
Begitupun, Mary Ann Rivera terpaksa menerima hakikat bahawa perbuatan yang didakwa dilakukannya empat dekad lalu akhirnya kembali menghantuinya.
Dia yang hidup sebagai pelarian berjaya diberkas baru-baru ini sebelum dihadapkan semula ke mahkamah di Houston atas tuduhan membunuh suaminya, Cruz Rivera pada Oktober 1970. Wanita itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan tersebut pada November 1970.
Pada tanggal 21 Oktober lalu, Rivera membuat penampilan pertamanya di mahkamah sejak dibawa pulang ke Houston dari Georgia, tempat tinggalnya sejak melarikan diri daripada tuduhan tersebut.
Dia hadir dengan memakai pakaian seragam penjara berwarna oren dan bernafas dengan menggunakan bantuan saluran tiub plastik yang melalui bawah hidung dan telinganya ke tangki oksigen berwarna hijau.
Dia yang duduk di atas kerusi roda ditempatkan di kandang tertuduh bersama beberapa tertuduh lain sebelum kes terhadapnya kemudian ditunda ke 15 November ini.
Sementara menunggu tarikh tersebut, wanita yang mempunyai ketinggian 155 sentimeter itu terpaksa ditempatkan di lokap kerana tidak dibenarkan diikat jamin.
Pendakwa Raya, Tina Ansari menyatakan, faktor kes itu yang telah 41 tahun berlalu dan sama ada masih terdapat saksi-saksi, merupakan beberapa halangan yang perlu dihadapi sekiranya pihak berkuasa ingin meneruskan perbicaraan terhadap Rivera.
‘‘Kes lama bukanlah satu kes yang mudah,’’ kata pendakwa raya wanita itu.
Sementara salah seorang daripada dua peguam yang dilantik mewakili Rivera, Jules Johnson berkata, beliau perlu meneliti kes terhadap anak guamnya itu.
Seorang daripada anak lelaki Rivera, Mark Rivera turut enggan memberikan sebarang komen kepada agensi berita asing, Associated Press (AP) ketika ditemui di rumahnya di South Carolina.
Berdasarkan rekod mahkamah, Rivera didakwa membunuh suaminya dengan menyimbah gris panas bersama bahan-bahan dan cecair lain terhadap lelaki tersebut. Cruz meninggal dunia beberapa hari selepas kejadian itu.
Menurut Ansari, Rivera bertindak demikian kerana marah terhadap lelaki terbabit. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan punca yang menyebabkan berlakunya pergaduhan antara pasangan suami isteri tersebut.
Rakan-rakan dan jiran tetangga Rivera memberitahu, wanita itu mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk sakit di bahagian belakang badan, jantung dan pernafasan.
Masalah kesihatan itu turut menyebabkan Rivera tidak boleh menaiki kapal terbang sebaliknya dia terpaksa dibawa dari Georgia ke Houston dengan menaiki kereta sejauh lebih 1,126 kilometer dengan dikawal oleh anggota polis.
Pihak berkuasa menyatakan, Rivera didakwa di mahkamah pada November 1970 ketika berusia 36 tahun atas tuduhan membunuh suaminya. Wanita itu kemudian dibenarkan bebas dengan ikat jamin AS$10,000.
Bagaimanapun, beberapa hari kemudian dia meninggalkan Houston bersama tiga anaknya termasuk sepasang kembar lelaki. Di Lake Park, Georgia yang terletak berdekatan sempadan Florida, wanita itu tinggal di sebuah pangsapuri dan menyara kehidupan dengan bekerja sebagai pelayan restoran.
Kes terhadap wanita itu dibuka semula selepas seorang penyiasat di Pejabat Peguam Daerah Harris County di Houston, berjaya mengesan anak Rivera sebelum menemui alamat wanita itu di Georgia.
Ketika disoal oleh pegawai polis yang menemuinya, Rivera hanya memberitahu bahawa pasangan hidupnya itu telah meninggal dunia dan dia berpindah ke Georgia selepas pengebumian lelaki tersebut.

No comments:

Post a Comment